Soda Jadikan Anak Sukar Dididik

Pemakanan mempengaruhi tingkah laku seseorang. Tidak hairanlah, sejak dari dulu lagi, pakar cendekiawan dan tokoh-tokoh islam sangat menjaga pemakanan keluarga khususnya yang dimakan oleh anak-anak.

Kajian sains membuktikan makanan memberi kesan kepada perlakuan seseorang. Dalam kajian terbaru, kanak-kanak yang minum soda (minuman bergas) menunjukkan perlakuan lebih agresif berbanding kanak-kanak yang tidak minum soda. 



Dalam analisis ini, penyelidik daripada tiga (3) universiti iaitu Pusat Pengajian Kesihatan Awam Mailman Universiti Columbia. Universiti Vermont dan Pusat Pengajian Kesihatan Awam Harvard yang diketuai Dr Shakira Suglia, menggunakan data daripada kajian sebelumnya ke atas 2,929 ibu dan kanak-kanak di 20 bandar besar di Amerika Syarikat. 

Kajian bermula dari 1998 sehingga 2000 dan dalam tempoh ini, peserta ditemubual dari semasa ke semasa. 

Ibu diminta menghentikan pemberian minuman bergas kepada anak-anak dan memerhatikan tingkah laku, daya tumpuan dan sikap agresif anak mereka. 

Antara yang diperhatikan adalah kekerapan kanak-kanak merosakkan barangan mereka atau kepunyaan adik-beradik lain. 

Malah, ibu juga ditanya jumlah minuman soda yang diminum anak-anak mereka dalam sehari dan tabiat lain contohnya menonton televisyen. 

Secara puratanya, 43 peratus kanak-kanak minum sekurang-kurangnya satu tin soda sehari dan empat peratus mengambil sekurang-kurangnya empat tin sehari. 

Dalam penilaian perlakuan agresif, kanak-kanak yang dilaporkan tidak minum soda menunjukkan markah lebih rendah berbanding yang minum minuman bergas. 

Penilaian ini dibuat selepas mengambil kira tabiat lain yang mungkin mempengaruhi keputusan termasuk tempoh menonton televisyen, jumlah gula-gula yang dimakan, pendidikan ibu dan keturunan. 

Hasilnya, penyelidik merumuskan kanak-kanak yang minum dua tin soda sehari dikatakan lebih agresif.

Lebih menarik kanak-kanak yang minum empat tin soda sehari mempunyai kecenderungan dua kali ganda untuk merosakkan barang orang, terbabit dalam pergaduhan dan membuat serangan fizikal berbanding kanak-kanak yang tidak minum soda. 

Malah, mereka juga ada masalah daya tumpuan, kata penyelidik seperti yang disiarkan dalam Jurnal Pediatrik. 

Bagaimanapun, penyelidik tidak dapat menerangkan kaitan antara soda dan masalah perlakuan pada kanak-kanak, tetapi ada kemungkinan kandungan soda iaitu kafein atau fruktosa daripada sirap jagung yang tinggi menyumbang kepada perkara itu. 


Pakar pediatrik dan nutrisi di Emiriah Arab Bersatu (UAE) juga melahirkan kebimbangan mereka terhadap kesan negatif minuman ringan pada kanak-kanak terutama di negara itu. 

Apatah lagi, Jurnal Kesihatan Awam Amerika Syarikat meletakkan UAE itu sebagai negara kelima tertinggi dalam pengambilan minuman ringan selepas Amerika Syarikat, Mexico dan Argentina. 

Walaupun hasil kajian ini tidak menggambarkan keadaan sebenar dalam masyarakat, pemakanan ternyata memberi kesan terhadap perlakuan anak-anak kita. 

Ini sebabnya Islam amat menitikberatkan soal halal haram dalam setiap aspek kehidupan, bukan pada makanan dan minuman saja. 

Sebagai panduan, cadangan di bawah mungkin boleh membantu ibu bapa mengurangkan pengambilan minuman bergas dalam keluarga : 

  1. Berhenti beli minuman bergas dan hadkan pengambilannya. Tegaskan pada anak-anak minuman bergas hanya dihidangkan dalam rumah anda pada acara tertentu. 

  2. Untuk berhenti mengejut mungkin agak sukar, tetapi buat secara perlahan-lahan dengan membeli minuman bergas dalam botol kecil. 

  3. Ganti minuman bergas dengan jus buah-buahan. Lebih baik jika ibu bapa dapat menyediakan sendiri jus buah untuk keluarga kerana ia boleh mengurangkan kuantiti gula dalam minuman.

  4. Jika terpaksa, campurkan minuman bergas dengan air masak pada nisbah 1:1. Jika satu gelas minuman bergas, bermakna dicampurkan dengan satu gelas air masak. Ia secara perlahan-lahan akan mengurangkan keinginan untuk minum minuman bergas. 

  5. Lewatkan pengenalan minuman manis kepada anak-anak.

  6. Hidang minuman yang lebih menyihatkan seperti susu, susu soya dan jus buah.

  7. Jadi contoh terbaik pada anak-anak dengan mengamalkan minum air masak. Air masak adalah minuman terbaik.

  8. Beri penerangan kepada anak-anak dengan memfokuskan pada kebaikan tidak minum minuman bergas contohnya bagi mengawal berat badan sihat, menjaga kesihatan gigi dan gusi.

Petikan dari Berita Harian 20 Disember 2016

Popular posts from this blog

Betong, Yala, Thailand - 6hb Disember 2014

Sticky

Review NUTRIWHITE (Cleanser, Toner + Pelembap)