Simpan Cara Betul

Ramai pakar pemakanan bersetuju, cara penyimpanan makanan yang tidak betul, boleh menyebabkan ia mudah tercemar, sekaligus membuka ruang keracunan pada orang memakannya.


Sakit perut, muntah-muntah atau kehilangan air dalam badan antara kesan ketara  akibat makan makanan yang sudah rosak atau tercemar. 

Malah ada yang menemui ajal kerana lambat mendapatkan rawatan. 

Kadangkala makanan dibeli di pasar atau pasar raya sememangnya bersih tetapi kerana kita tidak menyimpan makanan dengan baik serta betul, maka kuman dan bakteria mudah menghinggapi. 


Makanan yang bersih adalah kunci kesejahteraan sekeluarga. 

Panduan penyimpanan makanan secara asas:

Arahan penyimpanan makanan pada label bungkusan, bukan hiasan semata-mata. 

Baca, fahami dan ikut arahan tertera sebelum dan selepas membuka bungkusan. 


Ada produk yang sesuai disimpan dalam ruang sejuk beku atau sesuai diletakkan di dalam bekas kedap udara sahaja. 

  • Bijirin

Umumnya, bijirin seperti beras, kacang dan tepung gandum perlu disimpan di dalam bekas kedap udara dan disimpan di tempat dingin, kering dan jauh dari sinaran matahari. 

Penyimpanan di tempat sejuk dan berair memudahkan ia rosak. 


Sebagai contoh, beras mudah dihinggapi kumbang kalau sering terdedah pada hawa sejuk.

  • Susu dan produk tenusu

Susu dan produk tenusu antara yang mudah rosak. Justeru, pastikan kita mengenali jenis susu yang dibeli. 

  • Susu segar pasteur harus diletakkan di ruang pendingin yang mempunyai suhu antara 0 darjah Celcius hingga 4 darjah Celcius.
  • Elakkan meletakkan susu pasteur pada suhu bilik kerana ia mudah dicemari bakteria.
  • Susu ultra tinggi atau susu UHT tidak perlu disimpan di dalam peti sejuk.
  • Selepas kotak dibuka, lebihan hendaklah disimpan di dalam peti sejuk di ruang pendingin pada suhu antara 0 darjah Celcius hingga empat darjah Celcius. 
  • Elak menyimpan susu berdekatan dengan bahan makanan yang mempunyai bau yang kuat. 
  • Makanan seperti keju mestilah disimpan dengan pembungkus asalnya di dalam peti sejuk. 
  • Selepas dibuka, ia mestilah dibungkus semula dengan sempurna menggunakan pembungkus baru yang kalis air (seperti aluminium atau plastik) atau diletakkan di dalam bekas yang bertutup ketat bagi mengelakkan kekeringan wap air di permukaan keju.

  • Telur

Sebaiknya telur disimpan di ruang pendingin pada suhu 0 darjah Celcius hingga empat darjah Celcius untuk mengelakkan pertumbuhan bakteria. 



Sungguhpun ada yang gemar membasuh telur sebelum disimpan, tetapi ada saranan untuk mengelakkan telur dibasuh sebelum disimpan. 

  • Daging, ayam dan ikan

Simpan daging, ayam dan ikan yang akan digunakan dalam tempoh tidak melebihi tiga (3) hari di ruang penyimpanan khas di bawah ruang sejuk beku pada suhu antara dua (2) darjah Celcius atau kurang. 


Bagaimanapun, bagi simpanan lebih lama, daging, ayam dan ikan hendaklah disimpan secara sejuk beku, iaitu di bahagian kurang daripada 0 darjah Celcius. 

Bagi hasil terbaik, daging, ayam dan ikan hendaklah disimpan di dalam bekas plastik kedap udara sebelum disimpan untuk mengelakkan berlaku proses kekeringan dan baunya, 'menjangkiti' makanan lain pada ruang penyimpanan sama. 

  • Buahan dan sayuran

Mengekalkan kesegaran buah-buahan dan sayur-sayuran boleh dilakukan dengan membungkus menggunakan plastik pembungkus makanan, sebelum dimasukkan ke bahagian penyimpanan di peti sejuk.


Bagi sayuran berdaun pula, ia perlu dikeringkan terlebih dahulu sebelum disimpan di dalam peti sejuk. 

Perlu diingatkan, supaya jangan menyimpan buah-buahan dan sayur-sayuran di ruang sejuk beku kerana ia boleh merosakkan tisu buah-buahan dan sayur-sayuran selain tidak segar.

Hak Milik Mawar Melati 2015. Powered by Blogger.