Pakar Nutrisi

Bayangkan anda memainkan peranan sebagai penasihat kepada masyarakat dalam meningkatkan tahap kesihatan mereka melalui pemakanan seimbang dan gaya hidup sihat.


Kerjaya sebagia pakar nutrisi atau diet bukanlah pekerjaan remeh tetapi memerlukan pengalaman dan pendidikan terbaik khususnya bagi membentuk individu yang mampu memberi khidmat nasihat dalam menguruskan kesihatan optimum yang dikehendaki. 


Membantu seseorang memilih menu terbaik, mengandungi pelbagai zat dan nutrisi dan melarang mereka daripada mengambil hidangan tidak sihat bukan kerja mudah. 

Justeru, sebagai pakar nutrisi dan diet, anda harus bijak mengawal individu terbabit dengan kata dan tunjuk ajar berlandaskan konsep dan prinsip asas kesihatan yang betul. 


Tetapi jika itu yang anda gemarkan iaitu menjaga diet seseorang, pilihan kerjaya seperti yang disebutkan tadi layak untuk anda. 

Promosi Penjagaan Kesihatan 

Oleh itu, pakar nutrisi selalunya memainkan peranan penting dalam mempromosi penjagaan kesihatan dengan mencegah penyakit menerusi pengambilan makanan yang sihat. 

Selalunya, pakar nutrisi dilantik oleh agensi kerajaan untuk menguruskan program berkaitan kesihatan, polisi dan peraturan pemakanan selain turut berperanan sebagai pendidik terhadap keperluan nutrisi yang betul dalam hidup seharian setiap individu.


Selain bekerja di agensi kerajaan, anda juga boleh mengaplikasi kepakaran di syarikat swasta seperti kilang makanan dan minuman, pusat latihan kesihatan dan penasihat persendirian individu atau kumpulan yang memerlukan pakar nutrisi. 

Peluang Kerjaya

Sekiranya anda minat menulis artikel mengenai kesihatan, media cetak mahupun internet, anda boleh memegang jawatan sebagai penulis ruangan kesihatan untuk tatapan pembaca. 


Bukan itu saja, anda juga boleh memilih kerjaya sebagai pensyarah dan pendidik di institusi pendidikan dalam dan luar negara mengikut kelayakan akademik dan pengalaman yang ada.


Sebagai pakar nutrisi mahupun diet, anda perlu tahu tahap nutrisi yang diperlukan setiap orang. Contohnya, nutrisi untuk mereka yang berpenyakit tidak sama dengan yang normal. 

Seperti nutrisi, diet juga memerlukan garis panduan supaya apa yang disuapkan ke mulut mengikut keperluan setiap individu. 


Sebagai pakar, anda harus bijak menjadualkan pemakanan mengikut nutrisi yang betul dengan keperluan individu normal (tanpa penyakit) dan yang mempunyai penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi, kolestrol dan obesiti. 

Petikan sumber Berita Harian Disember 2016
Hak Milik Mawar Melati 2015. Powered by Blogger.